Friday, June 10, 2011

Urban Village in Berita Harian - 31052011

10 belia terima Dana Belia 1Malaysia bernilai RM810,000
oleh Nas Norziela Nasbah

2011/05/31

PETALING JAYA: Seramai 10 belia hari ini menerima RM810,000 daripada Dana Belia 1Malaysia untuk menjalankan projek yang bertujuan merealisasikan aspirasi 1Malaysia yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dana berkenaan diberikan selepas calon menghantar permohonan mereka di laman sesawang Dana Belia 1Malaysia dan ditemuduga sebelum ditentukan oleh panel pemilihan.
Permohonan semua calon terbabit disenarai pendek oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum diserahkan kepada Najib selaku Pengerusi 1MDB.



Dana yang dilancarkan 21 Januari lalu memberi peluang kepada golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun memohon dana terbabit sebagai landasan mereka melahirkan harapan, idea dan kreativiti menerusi projek diilhamkan.

Penerima hari ini terdiri Foo Loke Min, 39, Fazilah Saugi, 37 ; Leow Ze Tong, 23 ; Zahid Suffian Norizan, 24; Muhamad Amzari Md Husaini, 29 ; Ahmad Humaizi Udin, 27, dan Mohd Faridzul Asyraf Mat Arfin, 23.

Tiga lagi penerima terbabit dipilih 1MDB dengan usaha sama badan bukan kerajaan (NGO) myHarapan, Hasnizam Md Zaki, 28, Azizul Abdul Latif, 34 ; Jazz Tan, 21 dan John-Son Oei, 24. 

Urban Village in Berita Harian Online

Monday, January 3, 2011

Article on Utusan Malaysia - 3rd January 2010

Seni kreatif 'underground' tawar peluang lumayan

Hasnizam Md. Zaki menunjukkan baju T-Shirt keluaran Kream di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Utusan/Panasonic Lumix


KUALA LUMPUR 2 Jan - Siapa kata industri seni kreatif 'underground' tidak menguntungkan penggiatnya? Industri sering kali dipinggirkan potensinya oleh masyarakat, sedangkan ia ibarat sebuah lombong emas yang belum terusik dan menanti sesiapa sahaja untuk menerokainya.

Ini buktikan oleh usaha sebuah organisasi yang ditubuhkan sekumpulan anak muda tempatan iaitu Kreative Entrepreneurs Association Malaysia (Kream).
Kream ditubuhkan pada November tahun lalu, merupakan penaung kepada industri unik berkenaan yang mempunyai ahli tidak rasmi seramai lebih 1,000 orang di seluruh negara.

Seni kreatif 'underground' di bawah Kream meliputi grafiti, baju T, studio muzik, percetakan, animasi dan visual multimedia yang kebanyakannya dihasilkan oleh anak-anak muda tempatan yang mempunyai potensi untuk diketengahkan.
Pengasas bersamanya, Hasnizam Md. Zaki berkata, beliau mendapat inspirasi untuk menubuhkan Kream apabila melancong ke Bandun, Indonesia tahun lalu untuk meninjau pasaran seni kreatif di sana.

Menurutnya, di sana hasil seni kreatif 'underground' diiktiraf dan berjaya menjadi sebuah industri yang mampu memberi pulangan kepada penggiatnya.
"Saya kagum melihat sebuah persatuan di sana yang terdiri daripada anak-anak muda berjaya mengkomersialkan hasil seni dengan label sendiri hingga mampu mencatat jualan sehingga RM1 juta.

"Jika mereka boleh melakukannya, saya yakin anak-anak muda Malaysia juga mempunyai kemampuan yang sama malah jauh lebih baik jika diberi peluang,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Hasnizam berkata, masalah utama penggiat seni unik ini adalah mereka tidak mempunyai platform untuk menonjolkan hasil karya mereka, oleh itu, beliau melalui Kream merancang untuk menubuhkan sebuah butik khas untuk mereka.
Namun kejayaan tidak datang mudah secara bergolek jika tiada usaha, begitulah terjadi kepada Hasnizam apabila hasratnya menubuhkan butik tersebut hampir berkubur apabila pihak bank menolak mentah-mentah permohonan pinjaman kewangannya.

Beberapa buah bank yang ditemuinya memberikan alasan hampir sama iaitu beliau tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan perniagaan Kream didakwa tidak mempunyai masa depan cerah.
Setelah beberapa bulan cubaannya memujuk beberapa buah bank-bank gagal, semangat Hasnizam mula luntur tetapi akhirnya pulih setelah berjaya mendapat pembiayaan.

Dengan sokongan rakan-rakan seperjuangan, Kream berjaya mengumpul dana sebanyak RM10,000 hasil derma penggiat seni tersebut yang tidak mahu melihat industri berkenaan terpinggir.
Akhirnya, beliau berjaya membuka sebuah butik Kream yang terletak di Subang, Selangor secara rasmi pada April lalu tanpa pinjaman daripada pihak bank.

Dengan tertubuhnya butik Kream tersebut, kini penggiat seni kreatif 'underground' mempunyai 'ruang rasmi' untuk mengkomersialkan hasil seni mereka.
Walaupun baru beroperasi, butik Kream kini memiliki enam label baju T iaitu Chap Angsa, Defy, Vandalism, Dirt Tee, dan Every One Is Awesome.

Selain menghasilkan baju, Kream turut menyediakan perkhidmatan seperti studio percetakan, muzik, seni grafiti, animasi dan seni visual.

Kini hasil produk seni mereka menjadi kegilaan remaja khususnya di bandar kerana kualiti dan bentuknya mengikut perkembangan semasa serta selera remaja moden.
Sebelum adanya butik tersebut, Hasnizam dan rakan-rakan menjual baju T rekaan sendiri di bazar, konsert 'gig' dan juga expo pameran sekitar ibu kota.

"Ketika itu, jualannya tidak memberangsangkan seperti sekarang kerana label kami belum dikenali tetapi kami tetap mempromosikannya walaupun ada kalanya kami hanya berjaya menjual beberapa helai sahaja dalam sehari.
"Pada masa ini, meskipun mempunyai butik sendiri, kami mengekalkan amalan jualan itu kerana ia merupakan tempat asal perniagaan kami dan menjadi promosi bergerak,'' jelasnya.

Hasnizam berkata, Kream kini berjaya mengembangkan bakat 10 orang anak muda walaupun baru lima bulan beroperasi dan sasar melahirkan 40 orang lagi penghujung tahun ini.

"Kami cuba melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan anak muda pada masa depan dan memasang impian menjadikan semua label di bawah Kream terkenal di dalam dan luar negara,'' kata beliau.
Katanya, pentadbiran Kream ketika ini diuruskan Pop Collective Sdn. Bhd (Pop Collective) iaitu sebuah syarikat pengurusan bakat kreatif yang dimiliki sejak 2007.

Tambahnya, Kream juga berjaya mengurangkan kes penipuan yang sering dialami penggiat seni kreatif kecil-kecilan yang membuatkan mereka gagal berkembang.

"Kream menjadikan mereka kuat dan yakin untuk memasarkan barangan di bawah label yang dicipta sendiri,'' katanya.