Menurut Pengasas Bersamanya, Hasnizam Md. Zaki, pengembangan perniagaan tersebut perlu dilakukan bagi mempromosikan jenama dan label hasil seni kreatif 'underground' yang dihasilkan anak muda tempatan.
Katanya, KREAM mahu menyediakan platform dan pasaran lebih luas kepada usahawan muda yang menjadi pembekal kepada butik yang dikendalikan organisasi tersebut.
"Ketika ini KREAM sudah mempunyai sebuah butik di Subang, Selangor dan kami merancang untuk membuka sebuah lagi di Kuala Lumpur penghujung tahun ini.
"Kami menetapkan sasaran untuk menerokai pasaran bandar-bandar besar di Johor, Pulau Pinang dan Sabah selewat-lewatnya 2012,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Hasnizam berkata, butik KREAM menjadi platform kepada penggiat seni unik tersebut untuk mempromosikan hasil karya mereka yang sebelum ini hanya terdapat di tempat-tempat tertentu serta terhad.
Katanya, butik KREAM kini memasarkan enam label baju T iaitu Chap Angsa, Defy, Vandalism, Dirt Tee, dan Every One Is Awesome.
Selain menghasilkan baju, KREAM turut menyediakan perkhidmatan seperti studio percetakan, muzik, seni grafiti, animasi dan seni visual.
Hasnizam berkata, beliau juga akan membangunkan sebuah laman web yang akan menghimpunkan semua karya seni KREAM melalui syarikat pengurusan bakat kreatif miliknya, iaitu Pop Collective Sdn. Bhd. (Pop Collective).
"Laman web ini umpama tempat mencari bakat dan peluang pekerjaan kepada penggiat seni seperti kami.
"Laman web ini akan dibangunkan oleh Pop Collective dan saya jangkakan perolehan sebanyak RM200,000 untuk tahun pertama operasinya,'' katanya.
Tambahnya, seni kreativiti 'underground' sering mendapat persepsi negatif oleh masyarakat dengan mengaitkannya dengan vandalisme, gejala sosial dan hanya membuang masa semata - mata.
"Persepsi ini perlu diubah, kerana kebanyakan penggiat seni ini merupakan golongan yang berpendidikan tinggi dan profesional.
"Ini merupakan industri baru yang mempunyai potensi besar untuk berkembang, sama seperti industri yang lain,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment